Monday 18 December 2017

#PRU14 : Siapa Kerajaan??

Apabila berkenaan kerajaan,umum akan terus menyebut Parti Politik Yang Menang Pilihanraya adalah kerajaan. Betul atau tidak? Maksud kerajaan ialah pentadbir yang mengurus tadbir perjalanan sesebuah negara atau negeri samada dari urusan pentadbiran,kewangan,pendapatan,pembangunan dan lain-lain lagi. Di Malaysia, kerajaan ialah kelompok Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Rakyat yang mempunyai majoriti sokongan. Mereka ini berada di dalam Blok Kerajaan manakala Ahli Parlimen yang tidak menyokong di panggil Pembangkang dan berada di Blok Pembangkang. Perdana Menteri dilantik di kalangan Ahli Blok Kerajaan dan kebiasaannya yang dilantik itu adalah Ketua kepada blok Kerajaan. Perdana Menteri kemudian melantik Timbalan Perdana Menteri,Menteri-Menteri Kabinet, Timbalan-TimbalanMenteri dan Setiausaha Parlimen. Mereka ini adalah dari kelompok Ahli-Ahli Politik yang menjadi Ahli Parlimen.

Kerajaan sebenarnya bukan 100% Parti Politik. Kerajaan sesebuah negara terbahagi kepada 2, PEMBUAT DASAR dan PELAKSANA DASAR. Siapa Pembuat Dasar dan siapa Pelaksana Dasar. Kita perlu memahami kelompok ini sebelum membuat keputusan atau rumusan berkenaan Kerajaan.

PEMBUAT DASAR

Pembuat dasar ialah kepimpinan tertinggi kerajaan yang terdiri daripada Peringkat Pengurusan atau Eksekutif (Menteri,Timbalan Menteri, Ketua Setiausaha, Ketua Pengarah).

PELAKSANA DASAR

Pelaksana dasar pula ialah kakitangan kerajaan yang terdiri daripada Kumpulan Sokongan (Pegawai Kerajaan yang berkhidmat dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam).

Pembuat Dasar boleh bertukar selepas Pilihanraya mengikut Parti Politik Mana yang menjadi Blok Kerajaan di dalam Dewan Rakyat di Parlimen. Manakala Pelaksana Dasar tidak akan bertukar walau parti mana menjadi Kerajaan. Sekiranya rakyat menyatakan Kerajaan yang sedia ada menyukatkan kehidupan rakyat, mereka perlu mengambil kira di bahagian mana yang menyukarkan mereka. Pembuat Dasar atau Pelaksana Dasar.

Sebagai contoh, Kerajaan Malaysia sekarang melalui Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Najib Razak mewujudkan UTC (Urban Transformation Centre) dengan meletakkan semua Pejabat Kerajaan termasuk Agensi di Bawah satu bumbung dan perkhidmatan termasuk Hari Sabtu Dan Ahad, adakah Dasar ini baik? Memudahkan Rakyat berurusan dan memberi fleksibiliti kepada Rakyat dalam berurusan dengan Jabatan Kerajaan yang mana sebelum ini Pejabat kerajaan hanya beroperasi 5 hari seminggu. Tetapi ada diantara kakitangan kerajaan seperti memboikot dengan tidak mahu bekerja dan mengakibatkan beberapa jabatan dan agensi kekurangan kakitangan sehingga mendatangkan kemarahan rakyat. Adakah Pembuat dasar yang tidak bagus atau pelaksana dasar yang tidak amanah? Pembuat dasar atau pelaksana dasar yang perlu disalahkan?

Rakyat yang terpedaya dengan slogan "Tukar Kerajaan" sebaiknya melihat semula siapa sebenarnya harus di tukar? Pembuat dasar atau pelaksana dasar? Adakah dengan menukar parti memerintah dapat menyelesaikan semua masalah? Atau dengan mendisplinkan kakitangan awam berupaya untuk memberi kemudahan kepada rakyat?

Siapa kerajaan? PEMBUAT DASAR atau PELAKSANA DASAR?

Tepuk kepala tanya akal...

Jadilah Pengundi Bijak

Sunday 10 December 2017

#PRU 14 : Antara Popular dan Kerja Kuat Part 2

Sejak minggu lepas, isu paling hangat ialah berkenaan dengan Pengumuman Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengenai pengiktirafan Jerusalem sebagai Ibu Negara Israel. Pelbagai reaksi yang sememangnya negatif mengenai perkara tersebut. Dan sudah pastinya pelbagai pihak terutama Parti Politik mengambil kesempatan ke atas isu ini. UMNO melalui Presiden Parti, Dato' Seri Najib Tun Razak semasa ucapan dasar menyatakan pendirian UMNO serta Kerajaan Malaysia yang diterajui Oleh Barisan Nasional yang menolak sekeras-kerasnya pengiktirafan tersebut dan keesokannya dizahirkan oleh Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang diketuai oleh YB Brigadier Jeneral Khairy Jamaluddin bersama ribuan ahli UMNO dan NGO yang turun ke Pejabat Kedutaan Amerika Syarikat untuk menyatakan bantahan kepada pengumuman Presiden Amerika Syarikat. PAS juga tidak ketinggalan sementelah PAS juga konsisten ke atas isu Palestin. Manakala PKR,PBPM Dan PAN dilihat cuba mencari rentak mengikut gelombang namun ketinggalan apabila kehadiran tidak seramai kelompok UMNO dan PAS.

Selepas penyerahan memorandum, seperti yang dijangka troopers pembangkang mula memainkan isu Palestin dengan menjadikan isu ini peluru kepada fitnah-fitnah untuk memburukkan Dato' Seri Najib terutamanya dan UMNO secara am. Video perjumpaan YAB Perdana Menteri bersama Presiden Donald Trump semasa lawatan ke Amerika Syarikat sengaja di edit utk menunjukkan yang Kerajaan Malaysia seolah-olah merestui perbuatan Presiden Trump. Ayat yang di sunting berbunyi "...Musuh Amerika Syarikat adalah Juga Musuh Kepada Malaysia...." Sedangkan ayat penuh YAB Perdana Menteri pada waktu itu ialah " Bagi memerangi Pengganas dan pelampau agama, Malaysia menyatakan sokongan kepada Amerika Syarikat untuk membanteras gejala Pelampau dan ekstremis Pengganas. Maka, musuh Amerika Syarikat juga adalah Musuh kepada Malaysia...".  Penyataan YAB Pedana Menteri langsung tidak menunjukkan bahawa Malaysia merestui Sokongan Amerika Syarikat kepada Israel. Malaysia konsisten menyokong penuh Palestin dan menolak Kewujudan Israel sebagai sebuah Negara. Sudah dijangka, pembangkang pasti akan menangguk di air keruh untuk mencari publisiti dan mengelak dari terdedahnya masalah mereka. Di Selangor, tangkapan anak saudara YAB Menteri Besar Selangor cuba untuk dipadamkan dari menjadi bualan. Di Pulau Pinang, kegagalan Pentadbiran Ketua Menteri Pulau Pinang kepada masalah pembangunan lereng bukit sehingga banjir besar berlaku cuba di alihkan.

Kerana itu, kebanyakan tindakan kerajaan atau dasar yang cuba dibawa untuk kemakmuran dan keupaayan menghadapi krisis ekonomi cuba digagalkan dengan menonjolkan perkara tersebut sebagai buruk dan pembangkang cuba sedaya upaya untuk menjadikan tindakan mereka seperti wira kepada rakyat Malaysia. Tindakan mereka sekadar mencari populariti dan lebih gemar menuding kesalahan kepada pihak lain berbanding cuba mencari penyelesaian kepada masalah yang di cipta oleh mereka sendiri.

Umum mengetahui, Pihak kerajaan dan juga wakil rakyat Barisan Naisional adalah mereka yang pertama sampai memberikan bantuan sekiranya terdapat musibah. Saban tahun, UMNO dan Barisan Nasional sentiasa menghulurkan bantuan kepada rakyat tanpa mengira fahaman politik mereka asalkan mereka perlu dibantu. Fitnah dan tohmahan yang sering dilemparkan hanya sebagai koametik untuk menutup kesalahan atau kesilapan yang berlaku di bawah pentadbiran Pembangkang.

Justeru itu, untuk Pilihanraya Umum ke 14, janganlah sesekali kita tersilap membuat percaturan dengan memilih mereka yang sukakan Populariti berbanding mereka yang mampu memikul Amanah dan mandat rakyat. Membaca situasi dan keupayaan kedua-dua pihak tanpa ada sikap prejudis kepada mana-mana pihak mampu memberikan kita petunjuk siapa yang lebih baik.

Saturday 9 December 2017

#PRU14 : Antara Popular dan Kerja Kuat Part 1

PRU 14 semakin hampir. Rakyat Malaysia akan menentukan hala tuju negara untuk 5 tahun lagi dengan memilih Parti Politik yang akan menguruskan pentadbiran negara. Rakyat Malaysia akan memilih wakil-wakil rakyat bagi mewakili suara mereka di Dewan Rakyat atau di Dewan Undangan Negeri.

Dengan berbaki tidak sampai setahun sahaja lagi, ramai ahli politi yang cuba mencari pengaruh dan sokongan pengundi. Ada wakil rakyat yang sentiasa ada di kawasan masing-masing tidak kurang juga ramai yang timbul setelah 4 tahun menghilangkan diri. Pengundi-pengundi seharusnya sudah masak dan mengenali mereka-mereka ini yang mampu membela dan mengambil berat nasib dan isu pengundi-pengundi mereka atau sekadar hadir untuk meraih simpati tetapi tidak mahu melaksanakan tanggungjawab mereka apabila masalah atau musibah yang menimpa.

Tidak dinafikan, Populariti memainkan peranan kepada menang kalah seseorang calon Pilihanraya. Namun begitu, pengundi seharusnya bijak memilih mereka yang mampu melaksanakan tugas mereka sebagai wakil rakyat. Bukan sekadar yang bijak memanipulasi keadaan dan mengambil kesempatan. Pengundi-pengundi seharusnya lebih bijak membuat penilaian setelah 4 tahun berlalu. Siapa wakil rakyat mereka dan bagaimana mereka bekerja. Sekiranya musibah menimpa, siapa yang terlebih dahulu hadir memberi bantuan. Pengundi perlu bijak mengasingkan tanggungjawab sosial dan tanggungjawab wajib. Pihak kerajaan semestinya melaksanakan tanggungjawab wajib mereka dalam memastikan rakyat terbela manakala wakil rakyat pun perlu melaksanakan tanggungjawab wajib mereka kepada pengundi. Tanggungjawab sosial pula lebih kepada parti politik dan NGO yang sudi membantu pihak kerajaan atau wakil rakyat sesuatu kawasan. 

Kebelakangan ini, 2-3 tahun yang lalu, pihak Kerajaan dilihat membuat sesuatu dasar yang tidak popular namun jika dikaji secara dalam, dasar tersebut dapat menyelamatkan negara dan rakyat menghadapi krisis kewangan dunia dan mengatasi krisis berkenaan. Namun begitu, ada pihak yang menangguk di air keruh dan menjadikan rakyat sebagai mangsa keadaan dengan menimbulkan persepsi negatif sehingga menjadikan rakyat marah kepada dasar-dasar yang di bawa oleh pihak kerajaan.

Setiap tindakan yang di ambil oleh kerajaan dalam usaha untuk menyelamatkan Malaysia dari terjerumus ke dalam krisis ekonomi dan matawang dunia cuba di sabotaj oleh pihak-pihak yang bekepentingan. Percayalah, mereka ini adalah petualang yang tidak jujur dan tidak amanah kepada rakyat Malaysia. Apa yang mereka inginkan ialah kuasa dan mereka tidak peduli sedikit pun kepada kebajikan rakyat Malaysia. Percaya atau tidak, ada di kalangan mereka yang berlakon seolah-olah cintakan negara ini dan melakukan semua ini kerana sayangkan negara dan dalam masa yang sama, mereka memegang atau paling tidak sudah cuba mendapatkan kerakyatan dari negara luar. 

Justeru itu, PRU ke 14 nanti pengundi perlu lebih bijak memilih mereka yang membantu dan bukan sekadar merka yang memilih untuk popular. Jika di bawa isu setempat, percaya dan yakinlah bahawa PEMBANGKANG TELAH GAGAL BERKHIDMAT KEPADA PENGUNDI mereka. 

Lihat dan perhatikan segala jenis bantuan dan ambil berat pengundi di laksanakan oleh siapa dan pihak mana. Jangan biarkan mereka ini mengambil kesempatan di atas sikap pengundi yang lebih suka kepada tindakan popular tetapi mudarat berbanding mereka yang kuat bekerja tetapi di tanam kebencian kepada mereka.